Rombakan & Penstrukturan Semula Pasukan Terengganu 2017


Kuala Terengganu : Pasukan bola sepak Terengganu (Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu) bakal dirombak secara besar-besaran pada tahun depan ekoran prestasi teruk dalam Liga Malaysia pada musim ini.

Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman berkata, penstrukturan semula pasukan Penyu melibatkan bidang pengurusan dan pemain akan dilakukan untuk membentuk pasukan lebih mantap serta mendapat kembali kepercayaan peminat bola sepak Terengganu bagi menghadapi saingan bola sepak Malaysia pada tahun 2017.

‘Kita akan buat rombakan keseluruhan secara besar-besaran termasuk aspek pengurusan dan pasukan Terengganu.’

‘Kita akan lihat (bagaimana) untuk struktur semula pasukan bola sepak utama kita (selepas ini)’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas Sidang Media Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Iman sebentar tadi.

Prestasi pasukan Terengganu tahun ini menjadi kecaman para penyokong akibat pencapaian memalukan yang berisiko tersingkir ke Liga Perdana selepas menduduki tangga terbawah Liga Super.

Penyokong mempersoalkan aksi longlai pemain Peteh yang disifatkan tidak setimpal dengan pelaburan besar puluhan juta ringgit yang diberikan kepada Skuad Penyu.

Menurut Ahmad Razif, keutamaan pada masa ini adalah memberi tumpuan dan sokongan kepada pasukan T-Team yang akan menggalas cabaran dalam separuh akhir Piala Malaysia melawan Selangor di Stadium Shah Alam Sabtu ini.

Sementara itu, kerajaan mengumumkan akan memberi ganjaran kepada pasukan hoki Terengganu (THT) yang berjaya menjadi juara berganda Liga Hoki Malaysia dan Piala TNB tiga tahun berturut-turut Ahad lalu.

‘Kita minta Exco Belia dan Sukan membuat cadangan yang akan diputuskan dalam Mesyuarat EXCO pada minggu depan’.

‘Akan ada ganjaran kepada THT yang telah berjaya mengekalkan tiga tahun berturut-turut juara berganda’ tambahnya. – TT