Selamat Berjuang T-Team Demi Untuk Terengganu Darul Iman


Kedudukan 50- 50. Tidak boleh terlalu yakin (over confident), demikian ditegaskan oleh Pengurus Pasukan T-Team, Dato’ Mohamad Kamil Othman.

“Apapun kita berusaha untuk yang terbaik,” katanya

Terengganu bakal berdepan dengan Selangor pada 1 Oktober di gelanggang lawan manakala timbal balasnya di Terengganu dijangka pada 15 Oktober.

Bagi Mohamad Kamil, berdepan dengan lawan di gelanggang lawan dahulu adalah suatu kelebihan buat T-Team untuk mara ke peringkat seterusnya.

Ditanya apakah yang membawa T-Team kepada persaingan separuh akhir Piala Malaysia musim ini, beliau dengan tenang menyatakan tiga faktor utama iaitu, pengurusan yang baik, motivasi dan kesedaran yang tinggi serta disiplin.

“Saya sering beritahu mereka yakni pemain, bermainlah seperti anda berjuang untuk kejayaan diri sendiri, anak isteri (keluarga) dan untuk negeri atau pasukan yang kita wakili,” katanya.

Menurutnya, apabila kesedaran itu ada dalam diri setiap pemain, mereka akan bersungguh-sungguh, tidak akan menjual permainan dan berjuang hingga mencapai kejayaan.

Katanya, menghargai setiap pemain amat penting, walaupun tidak mempunyai wang yang banyak, tetapi sekadar memberi hadiah setiap kali perlawanan sudah memadai untuk menimbulkan perasaan dihargai.

Duit bukan segala-gala, walaupun ia penting.

Kelab tidak mempunyai wang yang banyak, tetapi yang penting ialah kesedaran dan motivasi yang diberikan kepada setiap pemain dan kita sentiasa menghargai pemain dengan apa cara sekalipun, ujarnya.

Mohamad Kamil melahirkan rasa gembira di atas kesepaduan yang ditunjukkan oleh pengurusan, jurulatih dan para pemain hingga mencapai mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Marilah bersama-sama kita memberi sokongan padu kepada T-Team yang akan berjuang menentang Selangor nanti. - TK