10 Pemain T-Team Cuba Dipancing Keluar


KUALA TERENGGANU: Persiapan T-Team menghadapi separuh akhir kedua Piala Malaysia dengan Selangor, Sabtu ini sedikit terganggu apabila sekurang-kurangnya 10 pemainnya sedang 'diganggu' beberapa kelab dan pasukan berstatus elit dalam Liga Malaysia (Liga M).

BH Sukan difahamkan, pemain skuad jolokan The Titans menerima panggilan telefon dan mesej daripada wakil pengurusan kelab serta pasukan negeri dikatakan berminat mendapatkan khidmat mereka dengan tawaran gaji lumayan, musim depan.

Penolong jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim, berkata pihaknya tidak mahu menyekat mana-mana pemain untuk memilih pasukan kesukaan mereka meneruskan karier masing-masing, tetapi sekarang bukan masa sesuai untuk memikirkan soal perpindahan.

Beliau berkata, sepatutnya pihak berkenaan tidak mengganggu pemain The Titans tatkala mereka kini sedang memberi fokus sepenuhnya buat pasukan untuk menghadapi misi penting dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu ini.

"Pasukan sedang melakukan persiapan rapi untuk bertemu Selangor di laman sendiri, Sabtu ini, namun pemikiran pemain kini terganggu hingga terbawa-bawa dalam latihan apabila ada kelab dan negeri menghubungi untuk mendapatkan khidmat mereka musim depan.

"Kita sebenarnya bangga apabila beberapa pasukan gergasi tanah air berminat mendapatkan pemain T-Team. Cuma, kita kesal kerana pihak berkenaan tidak menunjukkan sikap profesional dan saluran yang betul sekali gus menganggu emosi pemain," katanya kepada BH

Kelmarin, akhbar ini melaporkan pemain import T-Team, Makan Konate kini menjadi perhatian dan diintai beberapa pasukan dalam Liga M.

Malah, bekas majikannya Persib Bandung juga dikatakan sedang memujuk pemain tengah kelahiran Bamako, Mali itu kembali ke pangkuan mereka beraksi dalam Liga Indonesia, musim depan.

Mohd Azhari berkata, pihaknya sudah menjangkakan perkara itu berlaku selepas T-Team yang dibarisi hampir keseluruhan pemain muda begitu menyerlah sehingga berjaya membawa pasukan ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

"Kita harap pemain ketepikan dulu soal perpindahan, sebaliknya memberi tumpuan kepada persiapan dalam misi menumbangkan juara bertahan yang menjuarai Piala Malaysia sebanyak 33 kali di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini," katanya. - BH