Abdoulaye Maiga Terlepas Aksi Separuh Akhir Kedua Piala Malaysia


Kuala Terengganu: Skuad T-Team terpaksa melupakan khidmat pertahanan kental Abdoulaye Youssouf Maiga dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia apabila pemain kelahiran Bamako, Mali itu digantung satu perlawanan selepas menerima dua kad kuning.

Berita kurang menggembirakan peminat setia skuad The Titans itu juga bakal memberi tamparan hebat buat pasukan dalam usaha memadam kelebihan satu jaringan Selangor selepas aksi pertama di Shah Alam minggu lalu.

“Ketiadaan pemain berusia 27 tahun itu memang dirasai kem T-Team apatah lagi pemain tinggi lampai itu selalu berjaya mengekang asakan penyerang lawan ketika separuh akhir pertama minggu lalu.

“Bagaimanapun, saya percaya barisan kejurulatihan yang diketuai Rahmad Darmawan mempunyai taktikal dan strategi tersendiri untuk mengekang rangkaian penyerang lawan dalam aksi penting 15 Oktober ini.

“Kehadiran semula Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris yang sudah pulih daripada kecederaan agak melegakan dan dia adalah calon terbaik untuk menggantikan Maiga,” kata Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mohd Zain.

Bekas pertahanan pasukan Sriwijaya FC dalam Liga Super Indonesia itu dilayangkan kad kuning kedua ketika pertemuan separuh akhir pertama bertemu Selangor dan satu lagi ketika bertemu FELDA United dalam aksi suku akhir.

Mengulas lanjut, Mohd Syahrizan berkata, beliau lega apabila semua pemain kecuali Maiga bebas daripada sebarang penggantungan atau kecederaan selepas aksi pertama lalu.

“Kita sasarkan untuk mara ke final dan berharap beberapa pemain utama termasuk pemain import dari Mali Makan Konate dan Mohd Safawi Rasid yang sudah mengumpul satu kad kuning mampu menjaga emosi selain memperaga corak permainan terbaik untuk mengelak mereka terlepas beraksi dalam pentas akhir jika The Titans layak.

“Saya juga berkeyakinan situasi ini ada hikmah di sebaliknya sambil mengharapkan sokongan padu peminat setia pasukan sebagaimana ketika aksi di Shah Alam untuk menyuntik semangat pemain,” katanya. - HM