Che Ku Marzuki Yakin Dengan Pasukan Terengganu


Pulau Pinang: Pemangku jurulatih Terengganu, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor, melontarkan amaran kepada Pulau Pinang bahawa pasukannya masih bersemangat tinggi untuk kekal dalam saingan Liga Super, musim depan.

Sekalipun nasib mereka belum terjamin sekiranya menang ke atas Pulau Pinang, itu bukan alasan buat Terengganu untuk menyerah kalah dengan mudah.

Hanya mahukan tiga mata, dia meminta pemain agar usah terlalu memikirkan apa yang bakal terjadi di Kuching di antara Sarawak dan PDRM FA.

“Kami membuat persiapan dengan memberi fokus kepada pasukan sendiri.

“Kami perlu menang ke atas Pulau Pinang, kami tak fikirkan Sarawak dan PDRM sama ada meraih keputusan seri atau kalah.

“Kami berdepan tugas sukar untuk mendapatkan tiga mata di tempat lawan, saya lihat pemain sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan esok,” kata Che Ku Marzuki.

Jika menang di Stadium Bandaraya, mereka terpaksa mengharapkan akan ada pemenang bagi perlawanan di antara Sarawak dan The Cops.

Walaupun turun tanpa ramai pemain utama seperti Ahmad Nordin Alias, Hasmizan Kamarudin dan Ismail Faruqi, Che Ku Marzuki tetap yakin dengan barisan sedia ada.

Ketajaman Issey Farran Nakajima dan Norshahrul Idlan Talaha dijangka terus ditagih bagi menggempur kubu Pulau Pinang.

“Ramai pemain kami mengalami kecederaan sejak pertengahan musim seperti Ismail Faruqi yang tidak dapat beraksi, Zairo Anuar Zalani dan Hairuddin Omar.

“Kami memanggil tiga pemain daripada skuad Piala Presiden untuk menghadapi Pulau Pinang ini dan saya rasa semua masalah yang kami hadapi, kami mampu mengatasinya.” - TT