Pemain T-Team FC Dituntut Bangkit


PENGENDALI T-Team, Rachmad Darmawan menuntut pemainnya bangkit dan menumpaskan Selangor pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah 15 Oktober ini.

Menurutnya, The Titans masih mempunyai peluang untuk melangkah ke final apatah lagi bakal bermain di gelanggang sendiri.

"Kita juga sudah mendapat satu gol penting di tempat lawan. Yang penting adalah pemain dapat fokus sepanjang baki 90 minit nanti.

"Malah, kalau dilihat kita sebenarnya mampu menyaingi Selangor tetapi mungkin kerana mereka bermain di gelanggang sendiri, jadi sedikit kelebihan buat mereka. Tetapi harus di ingat perlawanan timbal balik masih ada," katanya.

Mengulas mengenai perlawanan kelmarin, Rachmad menyifatkan kegagalan pemain menyerap tekanan dan keupayaan bahagian depan Selangor melakukan serangan demi serangan menyebabkan T-Team hilang arah seterusnya terpaksa melepaskan dua gol.

"Tetapi saya yakin apabila bermain di Kuala Terengganu, segalanya akan berubah," katanya. - SH