Safawi Rashid Lebih Waspada Berdepan Singapura


Pemain sayap skuad negara, Safawi Rasid, berharap penampilan keduanya di peringkat antarabangsa memberi tuah dengan kemenangan berpihak kepada Malaysia apabila skuad negara menentang Singapura dalam aksi persahabatan di Kota Singa, Jumaat ini.

Safawi meraih 'cap' pertama bersama pasukan kebangsaan ketika aksi persahabatan menentang Indonesia di Solo pada 6 September lalu.

Mempamerkan corak permainan memuaskan berbanding beberapa pemain lain, pemain berusia 19 tahun dari Kuala Terengganu ini, bagaimanapun, gagal membantu pasukan mencipta kejayaan.

Sebaliknya, Malaysia dimalukan skuad Garuda dengan kekalahan 3-0, ia sekali gus menyemarakkan semangatnya untuk menebus kehampaan itu dalam aksi bertemu Singapura nanti.

"Saya mengharapkan penampilan kedua ini memberi kemenangan.  Macam mana sekalipun, menentang Singapura, saya mahu menang.

"Pengalaman saya menentang Indonesia membuatkan saya berhati-hati untuk menentang Singapura," katanya. "Persefahaman juga penting untuk pasukan daripada dibolosi."

Tonggak T-Team yang dikaitkan akan berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim depan ini, bagaimanapun, perlu bersaing hebat untuk mengekalkan kedudukannya dalam kesebelasan utama.

Ia kerana jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, mempunyai pilihan mantap seperti Syazwan Zainon, yang menunjukkan prestasi cemerlang bersama Kedah sejak kebelakangan ini dan juga tonggak PDRM, Fakrul Aiman Sidid.

"Saya perlu bersaing dengan Syazwan dan Aiman. Persaingan tempat itu (sayap) sangat sengit bagi saya. Insya-Allah, kalau diberi peluang lagi sekali, saya akan memberi yang terbaik untuk pasukan," tambahnya.

Perlawanan tersebut akan disiarkan secara langsung di Astro Arena 801 & 802 HD, bermula dengan pra-rancangan pada jam 8.00 malam.  - SA