T-Team Kecewa Pemain Dipancing Secara Tidak Profesional


Kuala Terengganu: Pasukan berstatus kelab, T-Team, meluahkan rasa kecewa dengan tindakan beberapa pasukan Liga Malaysia yang cuba mendapatkan pemain pasukan itu tanpa melalui prosedur yang betul.

Menurut Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd Syahrizan Mohd Zain, ramai pemain pasukan itu kini menjadi sasaran dengan dijanjikan gaji yang lebih lumayan.

Antara pemain yang diintai pasukan lain adalah pemain utama seperti Muhammad Safawi Rasid, Mohamad Arif Fadzillah Abu Bakar, Mohd Asrol Ibrahim, Muhammad Ilham Amirullah, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris dan termasuklah awang import mereka.

“Mereka adalah pemain utama T-Team, malah tulang belakang kejayaan pasukan musim ini dalam saingan liga dan kempen Piala Malaysia.

“Khidmat pemain-pemain ini masih diperlukan dan mereka kekal dalam perancangan pihak pengurusan bagi menghadapi saingan lebih getir musim depan.

“Kami tidak menghalang jika mereka berhasrat untuk ‘berubah angin’ tetapi apa yang dikesalkan adalah tindakan beberapa pasukan negeri dan kelab yang mahu menyambar pemain-pemain ini menggunakan ‘pintu belakang’.

“Perkara ini sangat mengecewakan kerana tindakan itu sesuatu yang tidak profesional, malah berlaku ketika kami bersiap sedia menghadapi saingan Piala Malaysia tempoh hari.

“Sedangkan pada masa yang sama tiada surat rasmi yang kami terima untuk mendapatkan pemain-pemain T-Team.

“Pihak pengurusan sudah menawarkan kontrak baharu dan akan mengadakan perbincangan dengan harapan mereka akan kekal bersama pasukan ini.

“Meskipun tahu mereka dijanjikan tawaran gaji yang jauh lebih baik daripada apa yang diperoleh di sini, kami akan mengadakan pertemuan untuk mengelakkan penghijrahan mereka ke pasukan lain,” tambah Syahrizan. - SA