T-Team Yakin Mampu Tewaskan Selangor Di Shah Alam


Kejayaan menyingkirkan Felda United di peringkat suku akhir Piala Malaysia membuat kapten T-Team, Hasbullah Awang, berasa yakin mereka mampu untuk menewaskan sesiapa sahaja, termasuk Selangor.

Tiada siapa meramalkan Felda United boleh tersungkur, namun itulah yang telah dilakukan oleh T-Team yang mula mendapat jolokan 'giant killer' di pentas Piala Malaysia, musim ini.

Namun, tinggal hanya selangkah lagi ke perlawanan akhir, Hasbullah mendedahkan semangat rakan sepasukannya kini berada di tahap tertinggi selepas menewaskan Felda.

"Saya agak terkejut kerana kami dapat mengalahkan sebuah pasukan bintang. Mereka menduduki tangga kedua liga di samping layak ke Piala AFC tetapi kami masih mampu untuk menewaskan mereka," jelasnya.

Hasbullah turut berharap seluruh peminat dan rakyat Terengganu akan turun untuk memberikan sokongan kepada T-Team di Stadium Shah Alam, malam ini.

Menagih penuh sokongan daripada penyokong, Hasbullah berkata kehadiran mereka mampu untuk menyuntik semangat rakan-rakannya agar beraksi lebih bersungguh-sungguh.

"Saya berharap penyokong T-Team yang berada di Lembah Klang datang beramai-ramai ke Stadium Shah Alam bagi memberi sokongan kepada kami," tambahnya.

Kelibat dua pemain sayap Selangor, Andik Vermansyah dan R. Gopinathan, bakal menjadi perhatian barisan pertahanan T-Team dalam pertemuan kedua-dua pasukan dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.

“Selangor mempunyai rangkaian serangan yang laju dan penyerang yang berkualiti serta dibantu pengalaman di barisan tengah mereka.

“Permainan yang lebih berdisiplin harus dipamerkan untuk menyekat kemaraan mereka, seterusnya mencatat keputusan yang positif.

“Tetapi Andik dan Gopi adalah antara dua senjata utama mereka yang sangat laju. Sejak dalam Liga Indonesia, saya mengenali gaya permainan Andik, jadi kami harus bijak menangani dua pemain itu,” ujar pengendali T-Team, Rahmad Darmawan.

Bakal beraksi tanpa pemain tengah, Dilshod Sherofetdinov, yang digantung satu perlawanan serta pemain pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran, yang cedera, Rahmad turut menuntut anak-anak buahnya fokus selama 90 minit dalam perlawanan itu nanti.

“Kami perlu bermain secara berpasukan dan mencuba untuk membuat satu corak yang lebih tersusun, supaya tidak mudah untuk pihak lawan membuat gerakan. Malah, kami juga mahu mencari jaringan di tempat lawan.

“Walaupun ketiadaan Dilshod dan Amir, saya harap pemain-pemain yang lain bersedia untuk beraksi.

“Peluang adalah seimbang untuk kedua-dua pasukan kerana dalam saingan liga, mereka menang di Shah Alam, manakala kami menang di Kuala Terengganu.

“Keputusan perlawanan hanya ditentukan pada malam itu, pasukan yang menunjukkan kesungguhan dan motivasi yang lebih baik sudah tentu lebih berpeluang untuk menang,” katanya lagi. - SA