Safawi Hanya Tunggu Tandatangan Bersama JDT, Mat Yo Belum Fikir Soal Perpindahan


Dua pemain negara, Norshahrul Idlan Talaha dan Safawi Rasid, yang dikaitkan bakal berhijrah ke pasukan baru memilih pendekatan berbeza untuk menyelesaikan urusan perpindahan bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Bekas pemain Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang kini bersama Terengganu, Norshahrul, hanya akan membuat keputusan selepas pulang dari Piala AFF Suzuki 2016 selain mengakui ada menerima beberapa tawaran.

"Saya belum membuat keputusan untuk pergi mana-mana pasukan, sekarang saya masih bermain untuk Terengganu. Selepas Piala AFF Suzuki, barulah saya akan putuskan soal perpindahan untuk bermain pada tahun depan," kata Norshahrul.

Bagi pemain T-Team, Safawi, yang dikaitkan akan ke JDT mengakui sudah menyelesaikan segala urusan perpindahan walaupun belum menurunkan tandatangan bersama pasukan itu.

Kini, dia memberi jaminan kepada Kim Swee bahawa dia mampu memberikan fokus kepada skuad kebangsaan jika terpilih dalam senarai akhir 20 pemain.

"Soal perpindahan sudah selesai, cuma belum tandatangan lagi. Nanti kalau sudah tandatangan, saya akan maklumkan," kata Safawi.

Malaysia yang tewas kepada Papua New Guinea, Jun lalu, akan sekali lagi bertemu skuad itu dalam aksi persahabatan, 14 November ini.

Perlawanan itu akan disiarkan secara langsung di Astro Arena saluran 801 dan 802 HD bermula dengan pra-rancangan pada jam 2.30 petang.

Skuad negara akan bersama tujuh lagi negara rantau Asia Tenggara beraksi dalam Piala AFF Suzuki 2016 di Filipina dan Myanmar, dari 19 November hingga 17 Disember ini. - SA