Senarai Nama & Gaji Pemain Terengganu FA 2017 Tersebar, Penyokong Tuntut Cari Dalang


Kuala Terengganu: Senarai nama dan gaji pemain pasukan Terengganu untuk musim 2017 dikatakan tersebar sejak semalam, menerusi sekeping gambar kertas yang memiliki segala maklumat yang boleh dikatakan perkara yang tidak boleh didedahkan.

Tinjauan di laman sosial rata-rata penyokong dan peminat pasukan mengecam tindakan itu, mereka mahu individu yang menyebarkan perkara terbabit diambil tindakan.

Setelah kecoh sejak semalam, perkara ini juga mendapat komen daripada Dato Rozi Bin Mamat yang mengatakan gambar yang tersebar itu hanyalah cadangan awal dan bukanlah yang sebenar serta akan melakukan siasatan akan perkara terbabit.


Dengan maklum balas yang diterima tersebut, penyokong mahu Pemangku Presiden PBSNT merangkap Menteri Besar menunaikan janji dengan segera merombak PBSNT yang dicanang-canangkan sendiri oleh beliau sebelum ini.

Dengan penyebaran perkara seperti ini, serba sedikit mungkin boleh menganggu perjalanan pasukan Terengganu musim hadapan, walaupun diperingkat cadangan awal seperti dikatakan, maklumat gaji yang tertera boleh dijadikan isu pada masa akan datang yang boleh dimanipulasi untuk perkara-perkara tertentu.