Terengganu Turtles Kekal Rekod Tanpa Kalah & Teraju STL

Posted on Saturday, November 05, 2016 | 11/05/2016



Terengganu Turtles mengambil kesempatan daripada gandingan Kelantan Warriors yang seperti separuh masak untuk menang mudah 21-13, 21-10 sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju carta mata Liga Sepak Takraw (STL) 2016.

Hanya menurunkan empat pemain termasuk tekong gantian, Zulkifli Razak, regu Irsyad Faiz Aziz, Fadzli Roslan dan Azwan Muhrim kini kekal meninggalkan jauh tujuh pencabarnya dengan rekod tanpa kalah dan 12 mata daripada enam perlawanan.

Regu Vitthaya Boontha dari Thailand ini turut beruntung apabila Kedah Eagles yang menghampiri dan memintas Penang Panthers di tangga kedua, tersungkur mudah dalam perlawanan terdahulu kepada juara bertahan, ATM Guardians.

Guardians di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor mencipta kejutan dengan mencapai kemenangan keduanya musim ini apabila mudah menumpaskan Eagles, pasukan yang sedang meningkat dan mengumpul lapan mata liga, 21-15, 21-11.

Nazmi Najib, Afifuddin Razali dan Nazuha Nadzli seakan-akan berdepan lawan yang jauh berbeza dengan yang bergaya menewaskan Melaka Titans 14-21, 21-15, 21-14 semalam.

Regu bimbingan Aswadi Abdullah kini kian beransur-ansur meninggalkan zon penyingkiran di tangga corot dengan dua mata liga ini setelah saingan memasuki minggu keempat sejak 30 September lalu.

Eagles pula mengundang padah kerana masih cuba mempertaruhkan Nazirul Akram Rozali sebagai tekong yang masih tumpul dan mengembalikan Ali Alhamidi Ayob, apit kanan yang baru pulih daripada kemalangan jalan raya.

Apit kiri mereka, Zuleffendi Sumari tampil seperti biasa sebelum gandingan ini terpaksa beralih kepada tekong dan perejam yang menyengat dalam tiga perlawanan lalu, Asrah Adenan ketika ketinggalan set pertama, 15-18 dan Shahrol Nizam Romli dalam set kedua.

"Kami pun tidak sangka dapat menang mudah dua set hari ini padahal lawan hebat menundukkan Titans malam tadi. Macam satu kejayaan luar dugaan juga apatah lagi kami hanya berlatih bagi perlawanan ini mulai Khamis lalu," kata jurulatih Guardians, Aswadi Abdullah.

"Kepenatan menentang Titans menjejaskan sedikit rentak dan prestasi kami manakala selepas banyak servis Nazirul yang terbuang begitu sahaja, kami tidak mampu bangkit dan semakin merudum dan patah semangat walaupun membuat pertukaran tekong dan perejam," kata pengurus Eagles, Syed Husain Syed Abu Bakar. - SA
Blog, Updated at: 11/05/2016