Faderico Falcone Mahu Balas Kepercayaan Irfan Bakti

Posted on Saturday, December 24, 2016 | 12/24/2016



Penyerang import baru Terengganu, Federico Falcone, sedia membalas kepercayaan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, untuk mengetuai jentera serangan pasukan itu menghadapi Liga Perdana, musim depan.

“Ini adalah peluang terbaik untuk karier saya dan meskipun beraksi dalam Liga Perdana, rakan-rakan senegara memberitahu Terengganu adalah antara pasukan yang bagus.

“Malah, kami mempunyai ketua jurulatih (Irfan Bakti) yang membawa pasukan lamanya muncul naib juara Liga Super, itu yang membuatkan saya mahu ke sini.

“Saya harap dapat membina hubungan yang baik bersamanya, rakan sepasukan dan para penyokong, serta menyumbang jaringan yang banyak untuk membalas kepercayaan pasukan,” kata pemain kelahiran Argentina itu.

Falcone menjaringkan 17 gol dalam musim pertamanya bersama Valletta FC serta membantu pasukan itu menjuarai Liga Malta, malah menjaringkan tiga gol dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah, sebelum mereka tewas kepada Red Star Belgrade, Julai lalu.

“Kami akan mula menjalani latihan bersama, 1 Januari ini, dan saya tidak sabar mahu membantu pasukan ini.

“Sasaran utama saya sama seperti rakan sepasukan, iaitu untuk membawa kembali Terengganu ke Liga Super kerana itu adalah yang terbaik buat pasukan ini,” kata penyerang berusia 26 tahun itu lagi. - Stadium Astro
Blog, Updated at: 12/24/2016
Loading...