T-Team FC Intai Mamadou Samassa


Kuala Terengganu: Bekas penyerang kelab Marseille, Mamadou Samassa (gambar) menjadi buruan terbaharu skuad T-Team untuk melengkapkan kuota pemain import menjelang sepak mula Liga-M pada 20 Januari depan.

Ketua jurulatih T-Team Rahmad Darmawan berkata, kehadiran pemain yang pernah beraksi dengan kelab tersohor dalam Liga Perancis itu mampu menjadi penawar jentera serangan untuk digandingkan dengan penyerang tinggi lampai kelahiran Uzbekistan Farhod Tadjiev.

“Jika semua proses berjalan lancar, pemain itu akan tiba hari ini atau esok.

“Kami perlukan pemain yang mampu beraksi di bahagian tengah dan serangan. Justeru, kehadiran Mamadou akan memberi sengat di bahagian berkenaan,” kata bekas pemain kebangsaan Indonesia itu.

Samassa ialah pemain kelahiran Mali berusia 30 tahun yang pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan Perancis Bawah 21 Tahun.
Selain Marseille, kelab terakhir yang diwakilinya adalah Brest dalam Liga Perancis.

Sebelum ini kuota pemain import skuad The Titans sudah penuh namun pengurusan skuad menggugurkan pemain tengah yang mampu bertindak sebagai penyerang Makan Konate. Konate yang juga dari Mali mengalami kecederaan serius sehingga memerlukan pembedahan.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata selain Samassa, mereka juga akan menguji dua pemain import yang mampu beraksi di posisi penyerang dan tengah, Ibrahima Sidebe dari Senegal dan Shavkat Salamov (Uzbekistan).

Beliau berkata, pemain yang pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan Senegal itu dan beraksi untuk Debrecen dalam Liga Hungary akan tiba dalam masa terdekat.

“Sementara menanti kedua-dua pemain itu tiba, kami sedang menguji Shavkat yang juga pernah beraksi bersama Farhod untuk Olmaliq dalam Liga Uzbekistan.

“Kami tidak mahu terburu-buru mengikat salah seorang daripada tiga pemain berkenaan untuk mengisi kuota pemain import. Tapi, jika berjaya membuktikan kehebatan masing-masing, kami akan menamatkan pencarian,” katanya.

Sebelum ini, T-Team yang melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia mengesahkan menyambung kontrak pertahanan Abdoulaye Yousouf Maiga dari Mali selain Dilshod Sharofetdinov serta Farhod (Uzbekistan). - HMetro