Terengganu Ke Perlawanan Akhir Kejohanan Bola Baling Kebangsaan 2016


Dua pasukan pilihan, Terengganu dan Perak, membuktikan kejaguhan selepas mara ke perlawanan akhir kategori lelaki dan wanita Kejohanan Bola Baling Kebangsaan 2016 di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Beraksi sebagai tuan rumah digunakan sebaiknya oleh Terengganu yang membenam cabaran Johor di peringkat separuh akhir, sebentar tadi.

Mendahului 9-7 pada babak pertama, Terengganu nyata terlalu unggul selepas menambah 11 lagi gol dengan Mohd Shahrey Adnan dan Mohamad Nor Hakimi Zawawi masing-masing menyumbang lima jaringan sekaligus memastikan kemenangan 20-12 buat pasukannya.

Satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan pemegang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma), Perak, menepati ramalan selepas mengecewakan Selangor 17-13.

Tonggak utama Perak, Muhamad Afiq Rahadi, muncul wira dengan menyumbang empat gol selain tiga gol Lim Yih Yang untuk membantu skuad kendalian Phuah Lai Hock itu mengiringi tuan rumah ke perlawanan akhir.

Kategori wanita juga bakal menampilkan aksi Terengganu dan Perak di pentas akhir selepas mereka mengalahkan lawan masing-masing dalam aksi di sebelah siang.

Terengganu mara dengan kemenangan tipis 7-5 ke atas Melaka manakala Perak berpesta gol menewaskan Johor 21-11.

Perlawanan akhir kategori lelaki dan wanita itu akan berlangsung esok. - SA