Tiga Pelumba Muda Perkuat TSG Musim Depan


KUALA TERENGGANU: Tiga pelumba muda - Che Ku Mohamad Syamil Che Ku Romli, Mohammad Zulhilmie Afif Ahmad Zamri dan Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff - kini menyertai Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) untuk saingan musim depan.

Semua mereka adalah pelumba Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) yang pernah mewakili negeri itu dalam beberapa kejohanan antarabangsa serta temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Farhan Abdul Wahab, berkata mereka mendapatkan khidmat tiga pelumba itu bagi memperkuatkan barisan pelumba kelab tersebut bagi musim depan.

"Mereka ini adalah pelumba tempatan berbakat dan mempunyai banyak pengalaman dalam kejohanan dan pertandingan yang disertai semasa bernaung dalam PLBT.

 "Pendedahan, pengalaman, kebolehan yang ditimba daripada PLBT itu dapat digunakan dan dipraktikkan dalam pasukan TSG nanti," katanya. Menurutnya tenaga muda itu juga amat ditagih bagi membantu pelumba lain dalam mengharungi kejohanan pada masa akan datang supaya pasukan dapat berada di posisi terbaik.

Farhan berkata ketiga-tiga pelumba itu sememangnya berbakat dan hanya perlu digilap dan dimantapkan di bawah bimbingan jurulatih Jeremy Hunt.

Beliau berkata TSG juga masih mengekalkan barisan pelumba antaranya pasangan adik-beradik Mohd Hariff Salleh dan Mohd Zamri serta Anuar Manan.

Farhan berkata pihaknya juga sedang giat mengatur latihan dan kem kepada barisan pelumba sebagai persiapan menghadapi kejohanan Sukan SEA, Le Tour de Langkawi serta Tour de Filipinas musim depan. - BERNAMA