Rahmad Darmawan Sedia Beri Peluang Pemain Muda Beraksi


Kuala Lumpur: Acuan 10 pemain Piala Presiden bersama pemain senior menjadi cabaran besar buat pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, melahirkan satu pasukan yang kuat bagi menghadapi musim 2017.

T-Team memberi peluang kepada pemain skuad Presiden yang muncul naib juara tahun lepas untuk beraksi.

Skuad The Titans kehilangan ramai tonggak utama seperti pemain muda harapan negara, Safawi Rasid, yang berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Namun, Rahmad percaya barisan pemain muda yang disenaraikan bagi musim 2017 mampu memperkuatkan The Titans, apatah lagi ia satu langkah pendedahan yang baik buat pemain yang muncul naib juara Piala Presiden 2016.

Sebagai persediaan, pasukan ini telah mengadakan perlawanan pramusim selama 10 hari di Bandung dan Jakarta awal bulan lalu dan penilaian telah dibuat terhadap barisan pemain baru.

"Kami mahu memberikan pengalaman kepada pemain muda dan saya berpuas hati dengan peningkatan yang dipamerkan. Perlawanan pramusim di Indonesia memberikan mereka situasi sebenar beraksi di peringkat kompetitif," jelas Rahmad.

Kapten pasukan, Hasbullah Awang, tetap dengan sasaran agar T-Team mampu melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia sekali lagi apabila misi untuk mara ke final tahun lalu dinafikan oleh Selangor.

"Kami memiliki pemain skuad Presiden yang berbakat, kami berharap mereka akan menonjol dalam Liga Malaysia musim ini," ujar Hasbullah. - Stadium Astro