Rahmad Darmawan Yakin Dengan Pemain Muda T-Team FC


Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, menaruh keyakinan tinggi kepada pemain-pemain muda pasukan itu untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2017.

“Pemain-pemain seperti Muhd Azalinullah, Mohd Zarulizwan, Muhamad Shaziran, Aqil Irfanuddin, Muhamad Naqib dan ramai lagi telah menunjukkan komitmen yang membanggakan.

“Selain saingan liga, kami juga akan mengharungi Piala FA dan Piala Malaysia, jadi perjalanan liga agak panjang musim ini dan saya yakin mereka akan bertambah baik.

“Prestasi yang ditunjukkan sepanjang persiapan pra-musim sangat bagus, malah tampil cukup yakin.

"Apa yang diperlukan ialah lebih banyak perlawanan dan saya jamin, mereka pasti berada dalam kesebelasan utama,” katanya.

Mengulas lebih lanjut kehadiran Mamadou Samassa sebagai pemain import keempat T-Team, pengendali berasal dari Indonesia itu menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk mendapatkan persetujuan pemain itu.

“Saya mencadangkan kepada pihak pengurusan untuk mendapatkan Samassa, namun semuanya bergantung kepada persetujuan yang akan dicapai dan ujian perubatan yang akan dilakukan.

“Setakat ini, dia (Samassa) menunjukkan peningkatan kerana sudah lama tidak beraksi kerana berehat panjang dan berdasarkan apa yang dilihat, Samassa semakin berbisa,” tambah Rahmad.

Mamadou Samassa kini sah bersama T-Team apabila dia sudah menandatangani kontrak untuk bersama T-Team hari ini. - Arena