T-Team Pening Pilih Pemain Import Keempat


KUALA TERENGGANU: Bakal pengganti Makan Konate mungkin akan ditentukan dalam aksi terakhir pra musim apabila T-Team bertemu FELDA United di Stadium BSN Bangi, petang ini.

Dua calon utama mengisi kekosongan pemain import keempat The Titans ialah bekas penyerang Marseilles, Mamadou Samassa dan bekas pemain kebangsaan Uzbekistan, Shavkat Salomov.

Samassa dan Salomov perlu mempamerkan persembahan berkualiti jika mahu menambat hati ketua jurulatih kelahiran Indonesia, Rahmad Darmawan dan menyarung jersi skuad T-Team.

Konate yang juga tonggak utama T-Team musim lalu tidak disambung kontrak selepas mengalami kecederaan lutut dan menjalani pembedahan pada 29 Disember lalu.

Sehingga kini, T-Team sudah memiliki tiga pemain import iaitu pertahanan kelahiran Mali, Abdoulaye Youssouf Maiga serta dua pemain dari Uzbekistan, Dilshod Sharofetdinov (tengah) dan Farhod Tadjiev (penyerang).

Penolong jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim, berkata keputusan muktamad untuk mengisi kuota pemain import menggantikan Konate dijangka akan diputuskan dalam masa terdekat. "Kami mencari pemain import yang boleh bermain di posisi tengah dan depan.

Saya yakin, keputusan muktamad dijangka diputuskan selepas perlawanan pra musim ini," katanya. T-Team mencatatkan tiga kemenangan dan sekali seri dalam empat perlawanan pra musim ketika berdepan Kuantan FA (1-1), diikuti Polis Diraja Malaysia (PDRM) (2-1), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (3-1) dan Sime Darby (2-0).