Terengganu Tidak Pandang Mudah Cabaran UiTM FC


Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, enggan pemain-pemainnya menutup sebelah mata terhadap kekuatan Universiti Teknologi Mara (UiTM FC) menjelang pertemuan dua pasukan itu di Stadium UiTM, Shah Alam, petang esok.

Mahu terus mengekori rapat pendahulu Liga Perdana, Negeri Sembilan, Irfan turut mencabar pasukannya untuk membuktikan kemampuan mengutip mata di gelanggang lawan.

“Untuk mencapai sasaran ke Liga Super, kami tidak boleh keciciran mata lagi memandangkan pasukan-pasukan di kedudukan bawah juga sedang mengejar Terengganu.

“UiTM salah satu pasukan yang baik dan dibuktikan musim ini dengan barisan pemain yang berkualiti, antaranya pemain import mereka, Do Dong-Hyun dan Akanni Sunday,” katanya.

Mengakui dua pemain lawan itu kini dalam prestasi terbaik, Irfan jelas mahukan barisan pertahanannya merantai pergerakan mereka, yang disifatkannya mampu menghalang hasrat Sang Penyu mencipta kemenangan.

“Kami perlu mengelak daripada memberi pasukan lawan ruang untuk melancarkan serangan selain mengawasi pergerakan pemain utama mereka.

“Apa yang penting, pemain-pemain tidak boleh memandang rendah kemampuan UiTM,” tambahnya lagi. - Arena