Irfan Bakti Rancang Tukar Dua Pemain Import



Kuala Terengganu: Pasukan Liga Perdana, Terengganu, akan membawa masuk dua pemain import baru untuk memperkemaskan pasukan itu untuk menghadapi baki saingan liga dan Piala Malaysia, musim ini.

Mengesahkan penyerang kelahiran Argentina, Federico Falcone, antara yang akan digugurkan dan menurut ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim, dia belum mahu mendedahkan seorang lagi ‘mangsa’ sebelum bertemu UiTM FC, malam ini.

Menurut Irfan, perlawanan malam ini merupakan aksi terakhir pemain itu menyarung jersi hitam putih sebelum digugurkan, malah telah mempunyai calon pengganti mereka.

“Kami akan menilai dua pemain baru yang beraksi di bahagian serangan sebelum bermulanya bulan puasa.

“Beberapa perlawanan persahabatan akan dirancang untuk membentuk keserasian mereka bersama pasukan ini,” ujarnya.

Selain Falcone, 27, tiga lagi pemain import Terengganu ialah Lutfulla Turaev, 29, Issey Farran Nakajima, 33, dan pemain pertahanan dari Brazil, Lazaro Vinicious, 27.

Mengulas lanjut mengenai persiapan malam ini, Irfan mengakui pasukannya harus melupakan kekalahan sebelum ini serta mengejar tiga pasukan teratas, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan PKNP FC.

Punca kekalahan besar 4-0 kepada UiTM FC di Shah Alam, April lalu, juga sudah dikenal pasti dengan merujuk kepada tiga tonggak pasukan itu, Do Dong-hyun, Dechi N’Guessan dan penjaring terbanyak, Akanni Sunday Wassiu.

“Kami tidak boleh terus keciciran mata dan perlu berada dalam kelompok atasan kerana keutamaan Terengganu ialah untuk ke Liga Super 2018,” kata ketua jurulatih berpengalaman itu lagi. - Arena