Kumpulan Maut, Terengganu Tidak Mudah Mengalah - Haji Irfan Bakti


Kuala Terengganu: GETIR! Itu perkataan paling tepat buat skuad Terengganu yang dilihat berdepan perjalanan sukar mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Kekecewaan yang dialami selepas gagal melangkah ke final Piala FA 2017, kini timbul cabaran baharu apabila mereka diundi dalam kumpulan maut kempen Piala Malaysia musim ini.

Pada majlis undian kejohanan berprestij itu di Damansara, Petaling Jaya tengah malam kelmarin, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu diundi dalam Kumpulan D bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor dan Sarawak.

Atas kertas, peluang mereka memang sukar untuk diramalkan kerana JDT dan Selangor dianggap pilihan untuk mara ke peringkat suku akhir.

"Ini betul-betul ujian getir buat kami. Begitupun, ia bukan bermakna kami akan mengalah mudah, Terengganu tetap memberi cabaran.

"Semua pasukan dalam Kumpulan D ini hebat-hebat belaka terutama JDT dan Selangor," jelas Irfan ketika dihubungi semalam.

Begitupun katanya, Terengganu sudah biasa berdepan dengan cabaran dan barisan pemainnya mampu melakukan kejutan.

"Kami tetap bersedia berdepan dengan sesiapa sahaja dan Terengganu tidak akan mudah tunduk," ujarnya lagi.

Pada majlis undian itu, Pahang, T-Team, Negeri Sembilan dan PKNP FC diundi dalam Kumpulan A manakala Kumpulan B Terdiri daripada Perak, Felda United, PKNS FC dan Kuala Lumpur.

 Juara Piala FA 2017, Kedah, Kelatan, Melaka United dan UiTM FC diundi dalam Kumpulan C.