Pemain Import Baharu Terengganu Tiba Jun Ini

Posted on Monday, May 29, 2017 | 5/29/2017



Federico Falcone (dua, kiri) dan Lutfulla Tuarev (kanan, sekali) tidak akan bersama skuad Penyu pada baki saingan Liga-M musim ini.

PENGENDALI Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan dua import baharu sah akan menyarung jersi skuad Penyu bagi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Menurutnya, kedua import itu akan menggantikan Lutfulla Turaev dan Federico Falcone yang digugurkan baru-baru ini.

Namun, Irfan Bakti enggan mendedahkan nama pemain tersebut bagi mengelakkan dirampas pasukan lain dalam tempoh perpindahan ini.  

“Sebelum ini kita telah sahkan gugur Federico Falcone dan sekarang Turaev. Tempat Turaev akan digantikan oleh seorang pemain dari Brazil manakala Falcone akan digantikan seorang penyerang yang akan saya dedahkan nanti.

“Kedua-dua mereka akan tiba dalam masa terdekat dan memulakan latihan bersama pasukan pada Jun ini,” katanya.

Katanya lagi, dua lagi import Issey Farran Nakajima, 33, dan pemain pertahanan dari Brazil, Lazaro Vinicious, 27 dikekalkan.

Sementara itu, Irfan Bakti turut mendedahkan beberapa perlawanan persahabatan sedang dirangka bagi memastikan tahap kecergasan pemain berada pada tahap terbaik biarpun liga bercuti rehat ketika ini.

Malah, katanya, latihan pasukan akan bermula pada 5 Jun ini sebagai persiapan menghadapi Piala Malaysia.

“Pada 10 Jun kita berkemungkinan akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Pahang, Felda United (17 Jun) dan Kelantan (21 Jun).

“Kita sedar lawan di peringkat kumpulan Piala Malaysia adalah sangat sukar dan ini adalah persiapan awal kami,” katanya. - SINAR HARIAN
Blog, Updated at: 5/29/2017
Loading...