Irfan Bakti Bawa Masuk Lima Muka Baharu


Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti membawa masuk lima muka baharu dalam skuad Penyu untuk memantapkan cabaran bagi mengharungi baki saingan Liga Perdana dan Piala Malaysia musim ini.

Seorang penyerang, Kipre Tchetche dan dibahagian tengah pula ialah Gabriel Davis Dos Santos, Mohamad Ridzuan Abdunloh dan Azi Shahril Azmi manakala seorang lagi penjaga gol, Mohamad Faizal Mohamad Yusoff.

Kelima-lima pemain itu yang sudah menandatangani kontrak bersama Terengganu sudah pun turut menyertai sesi latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Gabriel Davis ialah pemain kelahiran Brazil, berusia 27 tahun yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Clube Esportivo Lajeadense dalam Liga Rio Grande Do Sul, Brazil.

Kipre Tchetche yang baru sahaja membantu pasukan lamanya bulan lepas menjuarai Piala Sultan Oman berasal dari Ivory Coast akan menjadi taruhan pasukan Terengganu bagi mengegarkan jaring lawan.

Mohamad Ridzuan pula menyertai Terengganu dari FELDA United dan bekas pemain Harimau Muda dari Kedah itu juga selesa bermain di sebelah sayap kiri atau kanan.

Azi Shahril Azmi yang dibawa dari Felcra FC dan juga bekas pemain Kebangsaan ialah pemain pertama dibawa Irfan Bakti ke kem Terengganu bagi mengisi samada bahagian tengah ataupun pertahanan.

Sementara itu, krisis kecederaan penjaga gol yang dialami pasukan menyaksikan Irfan memilih membawa Faizal ke Terengganu. Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 30 tahun itu sebelum ini beraksi bersama dengan kelab Liga FAM, Sungai Ara.