Irfan Bakti Rela Dipersalahkan Dan Akan Bertanggungjawab



Kuala Terengganu: KETUA jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan, kedua-dua import baharu yang dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan mempunyai kualiti diperlukan skuad Penyu itu.

Malah, beliau sanggup mengambil risiko dan bertanggungjawab sepenuhnya jika kedua-dua import itu gagal mempamerkan persembahan terbaik.

Dua pemain itu ialah Gabriel Davis dos Santos (Brazil) yang akan beraksi di posisi tengah dan Kipre Tchetche (Ivory Coast) sebagai penyerang.

"Dos Santos sudah tiba semalam (kelmarin), manakala Tchetche akan tiba dalam masa terdekat selepas beliau menyelesaikan segala urusan berkaitan visa.

"Boleh dikatakan kedua-dua pemain ini dipilih oleh saya sendiri dan saya mengharapkan kehadiran mereka dapat memperkuatkan lagi pasukan. Jika tidak saya terpaksa bertanggungjawab.

"Tapi, saya yakin kedua-dua pemain ini mempunyai kualiti diperlukan dan dapat bantu pasukan menghadapi baki saingan liga.

“Sebagai contoh penyerang dari Ivory Coast itu merupakan pemain yang beraksi di kelab Al-Suwaiq (Liga Oman) dan sewaktu mereka muncul juara Piala Sultan Oman baru-baru ini, beliau telah menjaringkan dua gol," katanya.

Menurutnya, selain dua pemain import, pasukannya turut akan diperkuat lagi dengan kehadiran beberapa lagi pemain tempatan yang disunting dari UiTM FC, Felda United, Pulau Pinang dan Felcra FC.

Pemain import dan tempatan terbaru Terengganu sudah menjalani latihan semalam


Dalam pada itu, Irfan turut mengesahkan pasukannya bakal berdepan tiga perlawanan persahabatan pada rehat panjang ini.

Perlawanan persahabatan pertama bertemu Felda United pada 14 Jun, kemudian Pahang (17 Jun) dan Kelantan (21 Jun). - Sinar Harian