T-Team Bersedia Hadapi Jadual Padat


Kuala Terengganu: Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, mula mempersiapkan pasukannya menghadapi baki perlawanan Liga Super bermula 1 Julai ini selain sepak mula Piala Malaysia, tiga hari selepas itu.

Menurutnya, aspek kecergasan merupakan penekanan utama yang akan diberi tumpuan sepanjang bulan ini selain merancang sehingga empat perlawanan persahabatan.

Meskipun tahap kecergasaan pemain-pemain menurun selepas berehat 10 hari, Rahmad tidak gusar dengan situasi itu, sebaliknya mahu memanfaatkan kesempatan untuk memperkemaskan pasukannya.

“Sebanyak 19 sesi latihan akan diadakan sepanjang Ramadan dan tahap kecergasan mereka akan ditingkatkan secara berperingkat.

“Latihan minggu ini lebih kompleks melibatkan elemen penting seperti aerobik, kombinasi permainan dan teknik-teknik asas. Jadi, saya harap pemain-pemain menyesuaikan diri dengan cepat,” ujar Rahmad.

Bercakap mengenai Piala Malaysia, ketua jurulatih kelahiran Indonesia itu enggan dilabel antara pasukan pilihan Kumpulan A yang turut diisi Pahang, Negeri Sembilan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Kata Rahmad, dua pasukan dari Liga Perdana, Negeri Sembilan dan PKNP, berkelebihan dari sudut tempoh pemulihan kerana aksi Liga Perdana diadakan sehari lebih awal berbanding Liga Super.

“Pemilihan kesebelasan utama perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana sangat penting untuk kami memastikan pemain berada dalam tahap kecergasan terbaik, terutama dengan jadual yang padat.

“Saya akan melakukan penggiliran pemain dan kehadiran pemain tempatan baharu akan mengurangkan kelemahan pasukan ini,” tambahnya lagi.

T-Team kembali menjalani latihan, semalam, dengan hampir kesemua pemain melapor diri kecuali empat tonggak import mereka yang masih diberi cuti.


Turut memperkuatkan pasukan itu ialah Antaranya pemain tengah, Mohd Asrol Ibrahim, yang kembali hanya selepas enam bulan membuat keputusan meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Terengganu.

Tonggak utama T-Team pada musim lalu, Asrol, 30, bagaimanapun gagal menambat hati Irfan Bakti Abu Salim, sebaliknya hanya memanaskan bangku pemain simpanan.

Katanya, situasi itu mendorong kepulangannya ke Liga Super sambil bertekad kembali merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad kendalian Rahmad Darmawan.

“Saya bersedia bekerja keras bersama rakan-rakan lain untuk mengembalikan kepercayaan ketua jurulatih,” ujarnya.

2 orang lagi turut memperkuatkan T-Team ialah ketua pasukan MISC-MIFA, Ooi Shee Keong, 26, dan pemain sayap Melaka United, Syed Sobri Syed Muhammad, 23.

Ketiga-tiga pemain itu menandatangani kontrak setahun bersama T-Team, hari ini, disaksikan pengurus pasukan, Datuk Mohamad Kamil Othman.

“Kehadiran mereka akan lebih memperkemaskan pasukan ini kerana ketiga-tiganya adalah pemain berkualiti dan bebas daripada kecederaan.

“Saya pasti semua pihak pasti gembira, terutama dengan kepulangan semula  Asrol,” kata Mohamad Kamil.- Arena