Fokus Dan Tumpuan Ke Arah Perlawanan Liga Perdana - Irfan Bakti

Posted on Monday, July 10, 2017 | 7/10/2017



Kuala Terengganu : Selepas mengharungi dua perlawanan Piala Malaysia, tumpuan ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti kini kembali ke saingan Liga Premier dengan dua perlawanan seterusnya menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Perlis.

Mengulas perlawanan Terengganu menentang JDT pada hari jumaat baru-baru ini, Irfan menyatakan rasa puas hati beliau dengan persembahan berdisiplin yang dipamerkan oleh para pemain beliau.

Irfan memuji karekter para pemainnya yang memberi saingan kepada pendahulu Liga Super tersebut yang walaupun tidak mempunyai pemain-pemain asing mereka masih dibarisi oleh pemain-pemain kebangsaan Malaysia.

Namun kegagalan penyerang mereka, Tchétché Kipré untuk membuka akaun gol bersama Terengganu menimbulkan sedikit rasa terkilan Irfan.

Beliau amat berharap pemain dari Ivory Coast itu akan membawa keceriaan kepada para penyokong Terengganu yang hadir ke stadium atau mengikuti perlawanan secara langsung di televisyen.

Walaubagaimanapun, Irfan tetap berpuas hati dengan persembahan Kipré yang bekerja keras sepanjang perlawanan serta memberi tekanan kepada barisan pertahanan JDT malah beberapa kali hampir membuat jaringan.

Beliau juga memuji Issey Nakajima yang walaupun tidak menjaringkan gol tetapi tetap memberi sumbangan kepada pasukan seperti yang diharapkan.

Larian beliau ke dalam kotak penalti di pertengahan separuh masa kedua hampir menghasilkan peluang jaringan gol sekiranya tidak ‘dihalang’ oleh Azrif Nasrulhaq.

Dengan pertemuan menentang ATM dipinda venuenya ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, para pemain Terengganu sudah pasti akan mempunyai masa untuk pulih secukupnya dari dua perlawanan ‘berat’ sebelum ini.

Namun Irfan akan tetap memikirkan formula yang sesuai untuk melakukan rotasi pemain untuk mengelakkan kelesuan di kalangan mereka yang selalu beraksi serta memberi masa bermain kepada para pemain yang sering berada di bangku simpanan. - TFA
Blog, Updated at: 7/10/2017
Loading...