Irfan Bakti Mahu Pemain Terengganu Tunjuk Prestasi Sebenar


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, berharap pasukannya memperagakan aksi terbaik dalam aksi Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), malam esok.

Menyifatkan JDT sebagai pasukan terbaik di negara ini, Irfan tetap yakin kesebelasan utamanya mampu tampil dengan rentak lebih tersusun di Kuala Terengganu.

“Setiap pemain tahu kualiti pasukan lawan. Jadi pesanan saya, bangkit dan tunjukkan prestasi sebenar,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pemain-pemain harus berwaspada serta mengurangkan kesilapan mudah selain mengawal setiap pergerakan lawan.

“15 minit pertama sangat penting. Dua perlawanan terdahulu kami ketinggalan akibat kehilangan bola dan ia tidak boleh berlaku lagi malam esok,” tambah Irfan.

Sang Penyu masih memburu kemenangan pertama dalam Kumpulan D selepas terikat 1-1 dengan Selangor manakala JDT bermula langkah kanan menumpaskan Sarawak 4-0, Selasa lalu. - Arena