Kipre Tchetche Puas Cipta Jaringan Sulung

Posted on Sunday, July 16, 2017 | 7/16/2017



Kuala Terengganu: Penyerang import Terengganu, Kipre Tchetche, berterima kasih kepada rakan-sepasukannya selepas mencipta jaringan pertama bersama pasukan itu ketika menewaskan Perlis 4-0, malam tadi.

Tchetche, 29, menyifatkan tahap keyakinannya tidak pernah luntur biarpun terpaksa menunggu sehingga lima perlawanan untuk menemui sentuhan pemusnahnya.

Menyertai Terengganu pada jendela perpindahan kedua yang lalu, pemain kelahiran Ivory Coast itu mengakui tidak mendapat rehat yang cukup sejak sembilan bulan lalu bersama kelab lamanya.

“Saya hanya berehat seminggu dan situasi itu agak sukar. Rakan-sepasukan banyak membantu untuk saya menyesuaikan diri di sini.

“Sebaik sahaja saya menjaringkan gol, kesemua mereka meraikan bersama-sama dan itu sesuatu yang bermakna,” katanya.

Kehadirannya jelas memberi impak kepada Terengganu yang mula mendapat rentak dalam saingan Liga Perdana, malah bermula baik dalam dua perlawanan awal Piala Malaysia.

Nama Tchetche juga mula meniti di bibir peminat Terengganu dengan aksi lincahnya meskipun berpeluang menemui jaringan pertamanya lebih awal.

Ujarnya lagi, mereka beraksi sangat baik sebagai satu pasukan dengan peluang-peluang dicipta dan mula menunjukkan keserasian di atas padang.

“Rentak kemenangan harus diteruskan untuk kekal memberi saingan dalam dua kejohanan ini.

“Saya tidak kisah siapa menjaringkan gol kerana keutamaan adalah tiga mata buat Terengganu dan kami dapat kembali ke Liga Super,” tambah Tchetche. - Arena
Blog, Updated at: 7/16/2017
Loading...