Norhakim Akui Aksi Penyudah Masih Tumpul


Kuala Terengganu: Pemain T-Team, Nor Hakim Hassan, meluahkan rasa tidak puas hati dengan ketumpulan penyudahnya di depan gawang lawan meskipun skuad The Titans berjaya mencatat kemenangan ketika menentang Kelantan, baru-baru ini.

Berbekalkan lima gol yang dikumpul sebelum ini, Nor Hakim bertekad mahu meneruskan momentum terbaiknya meledak jaringan ketika bertemu dengan Kelantan.

Bagaimanapun, dia gagal meraih sebarang jaringan daripada empat peluang yang diperoleh dalam perlawanan tersebut.

Nor Hakim turut mengakui sentuhannya di depan gawang lawan ketika aksi di Kuala Terengganu itu serba tidak menjadi, namun berikrar untuk mempertajamkan penyudahnya dalam perlawanan seterusnya bertemu Felda United.

"Ini satu pengajaran dan pengalaman bagi saya kerana peluang yang ada tidak digunakan sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, masih memberikan pujian terhadap gaya permainan yang dipamerkan Nor Hakim meskipun pemain itu gagal menyumbang gol dalam pertemuan itu.

Baginya, matlamat utama pasukan adalah mencapai kemenangan tetapi kelemahan tersebut akan diperbaiki oleh Nor Hakim dalam aksi akan datang.

"Nor Hakim mempunyai empat peluang yang gagal disudahkan.

"Begitulah, adakalanya penyudah pemain tidak menjadi tetapi dia berjaya menghuru-harakan benteng Kelantan.

"Tiada masalah siapa yang menjadi penjaring, tidak semua pemain bermain dengan baik, namun semangat mereka itu penting," kata jurulatih dari Indonesia itu. - Arena