PTG Akan Iklan Kekosongan Tanah Di Terengganu Mulai Ogos 2017

Kuala Nerus: Kerajaan Terengganu melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri akan mengiklankan lot-lot tanah kediaman yang kosong di seluruh Terengganu bermula Ogos depan.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, inisiatif ini bagi memudahkan rakyat membuat permohonan pemilikan tanah tanpa perlu mencari lokasi tanah yang kosong terlebih dahulu.

“Kita telah mengenalpasti sebanyak 5,900 lot tanah yang masih kosong dan belum mempunyai pemilik di Terengganu dan senarai tanah-tanah ini akan diiklankan dalam masa terdekat di setiap PTG di seluruh negeri,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agong Kesatuan Penolong Pegawai Tanah Semenanjung Malaysia (KPPTSM) Perhubungan Negeri Terengganu ke-38 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato’ Tengku Farouk Hussien Tengku Abd Jalil, Timbalan Pengarah PTG Negeri Terengganu, Jailani Ismail, serta Yang Dipertua KPPTSM Cawangan Terengganu, Mohd Fauzi Ngah.

Ahmad Razif berkata, proses pembahagian tanah akan dibuat sepertimana Projek Rumah Mampu Milik mengikut beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan seperti belum memiliki sebarang tanah sebelum ini dan bayaran premium tanah sebanyak 10 peratus daripada nilai tanah tersebut.

“Selain itu, bagi permohonan yang telah diluluskan perlu membina rumah dalam masa tiga tahun dan sekiranya syarat ini tidak dipatuhi, pihak kerajaan akan mengambil semula tanah berkenaan untuk diberikan kepada orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, kata Ahmad Razif golongan miskin dan kurang berkemampuan akan diberi kelonggaran iaitu bayaran nominal sebanyak RM100 dan bantuan rumah PPRT berharga RM40,000. - TT