Skuad Penyu Fokus 3 Mata Tetap Waspada Ancaman Singa Utara


Kuala Terengganu: Tiada istilah seri atau tewas buat Terengganu sebaliknya tiga mata menjadi sasaran dalam misi mengintai kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana.

Pemain tengah Abdul Syukur Jusoh berkata, mereka berpeluang menggugat kedudukan Kuala Lumpur selaku pendahulu jika menewaskan Perlis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

“Saya tidak mahu memikirkan kedudukan tiga pasukan teratas Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan PKNP FC, tapi apa yang kami mahukan adalah kemenangan untuk memperbaiki kedudukan carta.

“Jika menang ke atas Perlis, peluang untuk memimpin liga cerah kerana perbezaan mata dengan tiga pasukan teratas tidak banyak,” katanya.

Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan berkongsi mata manakala PKNP hanya memiliki kelebihan satu mata berbanding Terengganu.

Sementara itu, jurulatih Irfan Bakti Abu Salim menyatakan beliau tetap berwaspada dengan Singa Utara biarpun lawan menghuni tangga kedua tercorot.

“Kita tidak boleh pandang mudah Perlis, lebih-lebih lagi mereka menewaskan Kuantan FA sebelum ini.

“Justeru, kami tuntut pemain berusaha keras untuk mengutip mata,” kata Irfan yang belum dapat menggunakan tiga tonggak - kapten Abdul Latiff Suhaimi, Ismail Faruqi Ashari dan Mohd Sharin Sapein - kerana dilanda kecederaan. - Harian Metro