T-Team FC Di Sawit Felda United FC


MARAN: Walaupun FELDA United membelasah T-Team, 5-1, di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, malam tadi, pengendalinya, B Sathianathan masih kurang berpuas hati dengan prestasi anak buahnya terutama di babak pertama.

"Saya tidak berapa gembira dengan permainan separuh masa pertama tetapi mereka berjaya mengimbangi perlawanan. Jaringan pertama perlawanan oleh Wan Zack Haikal penting untuk membuka peluang.

"Kita mendapat gol pendahuluan, namun mereka menyamakan kedudukan. Kita bangkit pada separuh masa kedua dan selepas itu tidak lagi memberi peluang kepada T Team.

"Saya memuji pemain tempatan yang memberi sumbangan dengan memberikan hantaran cantik kepada pemain import yang menjaringkan gol," katanya selepas perlawanan.

Pada perlawanan di laman sendiri itu, penyerang import sensasi FELDA United, Thiago Augusto menjadi wira apabila menjaringkan hatrik menerusi jaringan pada minit ke-47, ke-58 dan ke-79. Ia adalah hatrik keduanya dalam tempoh lima hari.

Sebelum ini penyerang dari Brazil itu berbuat demikian pada perlawanan Liga Super menentang Sarawak, 11 Julai lalu.

Satu lagi gol FELDA yang diberikan jolokan The Fighters itu malam tadi disumbangkan oleh Iffedayo Omosuyi pada minit ke-89 manakala gol tunggal T Team disempurnakan oleh Yannick Ndjeng.

Kemenangan itu membolehkan FELDA naik satu anak tangga ke kedudukan keempat dan ia mencapai sasaran ditetapkan Satianathan ketika mula mengambil alih pasukan pertengahan musim. "Ketika itu kami berada di kedudukan ke-10.

Saya pernah kata, kami menyasarkan untuk naik ke tangga keempat yang dianggap mustahil, namun kita berjaya mencapainya sekarang.

"Sasaran saya tetap pada kedudukan keempat liga sehingga penghujung musim, untuk menjadi juara sudah terlalu sukar kerana jurang terlalu jauh dengan Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya.

Sementara itu, pengendali T Team, Rachmat Darmawan, berkata antara punca kekalahan pasukannya adalah penurunan kecergasan anak buahnya yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh FELDA dalam membuat serangan.

"Separuh masa pertama kita bermain baik dan menghasilkan peluang terbaik tetapi kecergasan beberapa pemain menurun, kita mempunyai masalah mengejar pemain FELDA yang membuat serangan.

"Lima gol bukan satu jaringan sedikit dan kita akan memperbaikinya untuk perlawanan akan datang," katanya. - Berita Harian