T-Team FC Hanya Bernasib Baik

Posted on Wednesday, July 12, 2017 | 7/12/2017



Kuala Terengganu: Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, belum mahu mendabik dada di sebalik pasukannya bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-1 ke atas Kelantan di Kuala Terengganu, malam tadi.

Menurut Rahmad, persembahan pemain-pemainnya dalam aksi Liga Super itu belum mencapai tahap terbaik sambil merujuk kecederaan serius yang dialami Mamadou Samassa pada awal perlawanan, menyentap moral pasukannya.

Ujarnya lagi, T-Team berada dalam tekanan dan mereka seolah-olah hilang arah selain mengakui bergelut untuk mengembalikan mentaliti kemenangan yang kali terakhir dikecapi mereka pada 6 Mei lalu.

“Saya berpuas hati dengan semangat mereka sehingga minit terakhir walaupun majoriti pemain tidak berada dalam prestasi yang saya inginkan.

“Kelantan menggunakan pengalaman mereka, malah bermain dengan begitu bersabar. Nasib kami lebih baik malam ini (semalam),” katanya lagi.

Selaku tuan rumah, T-Team bermula positif dengan disajikan peluang seawal minit kedua, namun Samassa gagal memanfaatkan situasi satu lawan satu berdepan penjaga gol lawan, Mohamad Ramdhan Ab Hamid.

Mohamad Ramdhan terus cemerlang menafikan dua percubaan berturut-turut daripada Yannick N’Djeng dan Mohd Hassan Basri pada minit keenam.

Pemain sayap T-Team, Mohd Nor Hakim Hassan, turut berpeluang mencetak nama selaku penjaring yang menyaksikan sekurang-kurangnya dua peluang di dalam kotak penalti melambung tinggi.

Kecederaan serius tonggak import tuan rumah, Samassa, pada minit ke-14 mengubah rentak agresif mereka sehingga menyaksikan Kelantan mula mengorak langkah menerusi asakan Mohd Nor Farhan Muhammad (minit ke-36) yang tepat ke dakapan Mohd Suhaimi Husin.

Penyerang The Red Warriors, Abou Bakr Al Mel, memulakan babak kedua dengan memaksa Mohd Suhaimi menepis rembatan leretnya, empat minit selepas rehat.

Pelawat memecahkan kebuntuan hasil rembatan kencang Mohd Khairul Izuan Rosli yang menerima hantaran pendek Nor Farhan pada minit ke-63.

The Titans akhirnya bangkit pada penghujung perlawanan dan menyamakan kedudukan, bermula dengan gerakan solo Ooi Shee Keong dari sebelah kiri untuk disudahkan Dilshod Sherofetdinov (minit ke-79).

Pemain gantian, Muhammad Fauzi Abdul Kadar, kemudian menjadikan kedudukan 2-1 buat T-Team selepas menanduk masuk hantaran Syed Sobri Syed Mohd pada minit ke-84 sebelum N’Djeng mengesahkan kemenangan T-Team dengan gol ketiga, dua minit selepas itu. - Arena
Blog, Updated at: 7/12/2017
Loading...