T-Team FC Kekang Tok Gajah Di Piala Malaysia


KUALA TERENGGANU: T-Team berjaya menghalang Pahang daripada membawa pulang tiga mata apabila mengikat skuad Tok Gajah 1-1 dalam aksi Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan anak buah Dollah Salleh melakar keputusan seri buat kali ketiga berturut-turut untuk merampas posisi kedua kumpulan dari Negeri Sembilan yang tumpas 2-0 kepada pendahulu, PKNP FC dalam aksi petang tadi.

T-Team pula menduduki tangga ketiga apabila berkongsi dua mata dengan Negeri Sembilan yang terperosok di tangga keempat kerana perbezaan gol.

Skuad Tok Gajah bagaimanapun bermula garang apabila melancarkan serangan kilat ke kubu tuan rumah yang menyaksikan Mahamadou Sumareh meletakkan pelawat di depan seawal minit pertama.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad The Titans bangkit dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan pemain lincahnya, Mohd Nor Hakim Hassan menewaskan penjaga gawang, Wan Muhammad Azraei Wan Teh pada minit keenam.

Sumareh hampir meledak gol kedua buat pasukannya, namun rembatan dalam kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gawang T-Team, Mohd Hafidz Romly pada minit ke-15.

Bagaimanapun, percubaan kedua-dua pasukan untuk menambah jaringan pada babak kedua buntu sekali gus terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata. - Berita Harian