T-Team Mahu Mengakhiri Kemarau Kemena­ngan

Posted on Tuesday, July 11, 2017 | 7/11/2017



Kuala Terengganu: PASUKAN berstatus kelab, T-Team mahu mengakhiri kemarau kemena­ngan, sekali gus memburu tiga mata berharga pada aksi Liga Super menentang Ke­lantan di Stadi­um Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan berkata, dua kekalahan berturut-turut sewaktu bertembung dengan Selangor pada sai­ngan Liga Super dan PKNP FC pada kempen Piala Malaysia sebelum ini amat mengecewakannya.

“Begitupun, kebangkitan menarik yang dicipta pada Jumaat lalu untuk mengikat Negeri Sembilan 3-3 pada aksi kedua Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Pa­roi, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu sedikit sebanyak telah me­ningkatkan motivasi anak-anak buah saya.

“Kami bertekad untuk mengembalikan semula pres­tasi terbaik bermula dengan menewaskan Kelantan pada pertemuan di laman sendiri malam esok (ini),” kata Rahmad kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Rahmad berkata, beliau yakin anak-anak buahnya berada dalam keadaan cergas untuk menghadapi skuad The Red Warriors berikutan sistem penggiliran pemain yang telah diamalkan pasukannya sejak aksi dengan Negeri Sembilan tempoh hari.

Menurut beliau, pada aksi kedua peringkat kumpulan dalam saingan Piala Malaysia itu, enam pemain telah direhatkan dan mereka bersedia untuk diturunkan pada pertembungan Liga Super malam ini.

“Saya juga telah memperkemaskan benteng pertahanan yang dilihat mudah bocor terutama dalam menangani serangan balas daripada pihak lawan dalam tiga perlawanan sebelum ini.

“Semoga segala kesilapan dapat diperbaiki segera pada pertemuan dengan Kelantan malam esok (ini), sekali gus membolehkan T-Team bangkit,” katanya. - KOSMO
Blog, Updated at: 7/11/2017
Loading...