Terengganu Berjaya Rampas Takhta Liga Perdana

SELAYANG: Terengganu merampas kedudukan teratas Liga Perdana selepas meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas pendahulu, Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim mengumpul 37 mata, satu mata mengatasi Negeri Sembilan di kedudukan kedua, manakala Kuala Lumpur terjatuh di tangga ketiga dan kekal 35 mata.

Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebelum Kuala Lumpur dikejutkan dengan jaringan pembukaan Terengganu menerusi pemain import Kipre Tchetche pada minit ke-19.

Kuala Lumpur cuba bangkit memburu gol penyamaan dengan beberapa percubaan terutama menerusi rembatan deras Paulo Dos Reis pada minit ke-28 yang ditepis penjaga gol, Mohd Suffian Rahman.

Terengganu juga mendapat peluang terbaik untuk mengukuhkan kedudukan, namun percubaan Mohamad Ridzuan Abdunloh pada minit ke-33 berjaya diselamatkan penjaga gol, Kamarul Effandi Abdul Rahim.

Skuad kendalian Fabio Joaqim Maciel terpaksa menunggu hingga minit ke-67 untuk menyamakan kedudukan apabila rembatan padu dari luar kotak penalti penyerang berbisa mereka, Guilherme De Paula gagal diselamatkan Mohd Suffian.

Namun, tujuh minit sebelum aksi sebenar tamat, Gabriel Dos Santos kembali meletakkan Terengganu di depan selepas menyudahkan sepakan penalti.

Kuala Lumpur sekali lagi terpaksa bertungkus lumus mencari gol penyamaan, namun ketumpulan jentera serangan menyebabkan mereka terpaksa menyerahkan kedudukan teratas carta liga kepada Terengganu. - Berita Harian