Terengganu Raih Kemenangan Bedil ATM 2-0


Kuala Terengganu: PASUKAN Terengganu berjaya mengetepikan cabaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila meraih kemenangan 2-0 dalam aksi saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Play video dibawah ini

Pada pertemuan itu menyaksikan kem tuan rumah bermula garang apabila terlebih dahulu mencemaskan gawang pelawat menerusi rembetan leret Venice Elphi seawal minit kedua permainan namun berjaya ditepis keluar penjaga gol Terengganu, Mohd Suffian Rahman Kungi Rahman.

Begitupun Terengganu hampir berada di depan menerusi dua percubaan kemas Kipre Tchetche (minit 5, 11) dan Issey Nakajima (minit 9), bagaimanapun ketiga-tiga peluang itu gagal menemui gawang gol ATM.

Kem tuan rumah, ATM yang bangkit mengatur gerakan turut berpeluang membuka jaringan pada minit 16 tetapi percubaan jarak jauh Beomgeun Bae gagal menepati sasaran.

Jentera serangan skuad Penyu sekali lagi gagal menemui penyudah yang cemerlang apabila tiga peluang keemasan di depan gawang gol tuan rumah tidak dimanfaatkan sebaik mungkin menerusi tandukan Nasurllah Hanif Johan (minit 24), Kipre Tchetche (minit 25) dan Issey Nakajima (minit 30).

Terengganu yang dilihat menguasai permainan akhirnya berjaya membuka jaringan menerusi tandukan kapten pasukan, Lazaro Vinicius pada minit ke-38 hasil sepakan penjuru Mohd Ridzuan Abdunloh Pula.

Tiga minit selepas itu, skuad Penyu hampir mengukuhkan kedudukan menerusi percubaan Issey Nakajima, bagaimanapun rembatannya di depan gawang ATM sekadar melambung tinggi sekaligus membawa perlawanan ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, memperlihatkan kedua-dua pasukan memperkemaskan rentak permainan bagaimanapun pasukan Terengganu dilihat terus mengusai padang dan pemain cilik skuad Penyu, Mohd Faiz Mohd Nasir hampir menjaringkan gol kedua buat kem pelawat pada minit ke-53 menerusi sepakan percuma tepat ke gawang gol ATM, tetapi berjaya ditepis keluar Mohd Hafizuddin Azuhar.

Minit ke-70 kem pelawat sekali lagi berpeluang untuk menggandakan jaringan bagaimanapun rembatan Gabriel Dos Santos sekadar melepasi palang gol hasil hantaran silang Kipre Tcheche.

Tuan rumah yang sesekali melakukan serangan juga hampir menemui jaringan penyamaan tetapi benteng pertahanan Terengganu terlebih dahulu menafikan hajat skuad The Gladiator.

Usaha Terengganu dalam mengukuhkan kedudukan akhirnya tertunai menerusi jaringan cantik Gabriel Dos Santos pada masa tambahan untuk gol kedua skuad Penyu sekaligus meraih tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri. - Sinar Harian