Terima Kasih Rahmad Darmawan - Irfan Bakti


Kuala Terengganu: Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, mengakui maklumat daripada pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, adalah antara faktor kejayaan pasukannya mengikat finalis musim lalu, Selangor, 1-1 dalam aksi pertama Kumpulan D, Piala Malaysia di Stadium Selayang, malam tadi.

Terengganu turun berdepan Selangor beberapa hari selepas pasukan 'adik', T-Team, tewas 2-4 menentang lawan sama.

Hadir dengan reputasi pasukan Liga Perdana, skuad Peteh bagaimanapun berjaya menghadirkan saingan sengit.

Terengganu, yang ketinggalan pada minit ke-42 hasil jaringan Rufino Segovia del Burgo, bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-63 menerusi sepakan penalti Issey Nakajima-Farran untuk meraih satu mata berharga di laman lawan.

"Sedikit-sebanyak saya mengucapkan terima kasih kepada jurulatih T-Team (Rahmad) yang telah memberi info yang bermakna mengenai cara permainan (Selangor).

"Ia kerana saya tidak tahu cara mereka bermain. Jadi, pemain saya dapat bermain seperti yang sepatutnya mereka bermain," kata Irfan.



Keupayaan Terengganu untuk menyaingi skuad Red Giants turut ditunjangi aksi bertenaga beberapa pemainnya, terutama Mohd Faiz Nasir yang lincah di jentera tengah.

"Alhamdullillah, kami bermain dalam perlawanan pertama ini. Rakan-rakan juga menunjukkan semangat yang baik. Selepas ketinggalan 1-0, pemain bermain penuh semangat," kata Faiz.

Keputusan seri ini sememangnya memberi petanda betapa ranjau menanti untuk Selangor berada di pentas final buat tahun ketiga berturut-turut. - Arena