(VIDEO) Gol Serangan Balas Selangor Minit Akhir Perlawanan, Hampakan Terengganu


Kuala Terengganu: Pasukan Terengganu gagal menyaingi kebangkitan kem Selangor apabila dikejutan dengan kekalahan 2-3 di penghujung perlawanan dalam aksi keempat kumpulan D, kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Klik untuk play video dibawah ini
\

Kekalahan itu sekaligus dilihat menutup peluang buat skuad Penyu untuk mara ke pusingan suku akhir apabila Selangor terlebih dahulu mengesahkan slot bagi kumpulan D bersama-sama Johor Darul Ta’zim dengan masing-masing berkongsi 7 mata selepas mengharungi empat perlawanan.

Pada pertemuan itu menyaksikan kedua-dua pasukan turun dengan penuh bersemangat dalam memburu jaringan awal dan kem tuan rumah terlebih dahulu mencemaskan gawang pelawat menerusi percubaan Mohd Ridzuan Abdunloh Pula pada minit kelima, namun mudah dinafikan Norazlan Razali.

Sepuluh minit selepas itu kem tuan rumah sekali lagi menguji kubu pertahanan Selangor menerusi pemain lincah, Mohd Faiz Nasir tetapi rembatannya sekadar melambung tinggi .

Terengganu yang mempamerkan aksi lebih berdisplin berjaya mencipta peluang keemasan untuk berada di depan pada minit ke-16, bagaimanapun rembatan kencang Ferris Danial Mat Nasir berjaya ditepis keluar Norazlan Razali.

Pelawat yang sesekali melakukan serangan turut berpeluang membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi hantaran leret Francis Forkey Doe, namun gagal disudahkan dengan kemas Nurshamil Abd Ghani.

Tuan rumah yang bekerja keras dalam menamatkan kebuntuan gol akhir tertunai menerusi jaringan Ismail Faruqi Ashari pada minit ke-23 selepas memanfaatkan kegagalan Norazlan Razali yang menangkap kemas percubaan Mohd Faiz Nasir.

Begitu pun kem pelawat hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-29 malangnya rembatan Muhammad Syahmi Safari di dalam kotak penalti hanya menggegarkan tiang gol.

Sebaliknya, tuan rumah berpeluang menggandakan jaringan pada minit ke-36 hasil percubaan cantik Mohd Faiz Nasir tetapi dinafikan penjaga gawang Selangor yang terlebih dahulu bertindak cemerlang memastikan pintu gol tidak mudah dibolosi.

Bersambung babak kedua, pasukan Selangor dilihat memperkemaskan rentak permainan dengan melancarkan serangan ke kubu pertahanan tuan rumah dan berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-51 melalui sepakan percuma Forkey Doe.

Empat minit berselang, skuad kendalian P. Maniam terus melakarkan kejutan dengan menjaringkan gol kedua hasil rembatan tepat Syahmi Safari selepas menyambung sepakan percuma Mohd Raimi Md Nor untuk berada di depan dengan kedudukan 2-1.

Perlawanan menjadi semakin sengit dengan masing-masing berbalas serangan dan ‘ayam tambatan’ skuad Penyu, Kipre Tchetche berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-77 selepas menanduk masuk hantaran lintang Adib Aizuddin untuk mengikat kedudukan 2-2.

Keghairahan Terengganu dalam mencari jaringan kemenangan akhirnya mengundang padah apabila  Rufino Segovia del Burgo menceriakan kem Selangor dengan meraih tiga mata penuh selepas menjaringkan gol ketiga pelawat pada masa kecederaan.- Sinar Harian