75 Atlet Terengganu Galas Cabaran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017


Kuala Terengganu: KERAJAAN Negeri Terengganu bangga apabila 75 daripada 845 atlet yang bakal membawa cabaran negara  pada temasya Sukan Sea, Kuala Lumpur 2017 (KL2017) merupakan anak jati negeri itu.

Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat berkata, jumlah itu merupakan antara penyertaan tertinggi atlet dari negeri ini berbanding dua tahun lalu di Singapura dengan penglibatan lebih 50 atlet dalam pelbagai acara sukan.

Menurutnya, peningkatan atlet yang menyertai temasya terbesar anjuran negara itu secara tidak langsung memberi impak positif dalam perkembangan sukan di Terengganu, sekali gus  membuktikan bahawa atlet negeri ini mampu bersaing di persada antarabangsa.

“Jadi saya harap mereka dapat bertanding dengan bersungguh-sungguh dan mampu mengharumkan nama negara menerusi sasaran 111 pingat emas dalam 398 acara dipertandingkan nanti.

“Malah kita juga berbangga apabila Terengganu turut terpilih untuk menjadi tuan rumah kepada sukan kuda lasak (endurance) yang akan memulakan saingan pada 20 Ogos nanti di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat Majlis Pra Perasmian Kejohanan Kuda Lasak KL2017 di Stadium Mini, Kompleks Sukan Gong Badak di sini, malam tadi.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidn berkenan berangkat bagi merasmikan majlis tersebut sambil diiringi Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Mengulas lanjut acara sukan kuda lasak yang bakal membuka tirainya di TIEP Ahad depan, Rozi berkata, lima daripada enam atlet sukan itu merupakan penunggang dari Terengganu yang diketuai Muhammad Fuad Hashim, Azizatul Asma Abdullah,  Mohd Bulkhari Rozali, Mohd Adhwa Embong dan Muhammad Faris Haikal Mohd Hassan, manakala seorang lagi Mohd Yusran Yusuf  dari Kelantan.

Katanya, berdasarkan pencapaian dan prestasi terkini kesemua atlet, beliau yakin sasaran dua emas yang dipertandingkan mampu direalisasikan apatah lagi mereka beraksi di gelanggang sendiri dalam dua kategori utama iaitu individu dan berpasukan. - Sinar Harian