Kembalikan Prestij Piala Malaysia - Irfan Bakti


Kuala Lumpur: Jurulatih Terengganu Irfan Bakti mahu Piala Malaysia dikembalikan statusnya sebagai kejohanan utama di negara ini.

Piala Malaysia pernah menjadi kejohanan terakhir setiap tahun, tetapi kini diselang selikan dengan aksi Liga Super dan Liga Perdana pada separuh kedua sesuatu musim.

Jadual padat juga tidak membantu sesetengah pasukan yang tidak mengambil berat terhadap saingan Piala Malaysia kerana lebih memberi tumpuan kepada kempen liga.


Kelmarin, skuad Liga Perdana - Kuala Lumpur, Terengganu, Negeri Sembilan dan PKNP FC tidak menurunkan skuad utama dalam aksi Piala Malaysia kerana keempat-empat pasukan memburu tiket ke Liga Super musim depan.

PKNP yang membuat lima pertukaran, dibelasah Pahang 0-6 manakala Terengganu pula tumpas 0-5 kepada Johor Darul Ta’zim.

Negeri Sembilan yang menurunkan enam pemain Piala Presiden dalam skuad mereka tewas 1-4 kepada T-Team, tetapi nasib Kuala Lumpur jauh lebih baik tewas hanya 0-2 kepada Perak di Ipoh.

PKNP menjadi satu-satunya pasukan yang layak ke Piala Malaysia.

“Saya merehatkan Firdaus Faudzi, Ismail Faruqi Asha’ri, Azi Shahril Azmi dan Kipre Tchetche menentang Johor DT kerana tidak berpeluang menyertai lapan pasukan terakhir,” kata Irfan.

“Saya tidak mahu mengambil risiko berdepan kecederaan pemain utama menjelang aksi Liga Perdana menentang Kuantan Jumaat ini.

“Begitu juga dengan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan PKNP. Mereka juga merehatkan pemain utama memandangkan kesemua empat pasukan fokus untuk menjadi dua pasukan teratas Liga Perdana untuk ke Liga Super.”

Menurut Irfan jadual padat menjadi punca pasukan terpaksa mengorbankan kempen Piala Malaysia.

“Jadual terlalu padat, ia jauh lebih baik sebelum ini. Piala Malaysia sepatutnya diadakan selepas Liga Super dan Liga Perdana,” kata Irfan.

“Piala Malaysia pernah menjadi kejohanan paling kompetitif dalam negara di mana semua pasukan tidak sabar menantinya, tetapi ia hanya menjadi perlawanan selingan.” - Harian Metro