Pecah Rekod Sukan SEA, Sultan Mizan Jadi Kebanggaan Rakyat Terengganu


Kuala Terengganu: Pencapaian bersejarah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang bukan sahaja meraih pingat emas acara kuda lasak 80km individu, malah memecahkan rekod Sukan SEA, jelas menjadi kebanggaan peminat, khususnya di Terengganu.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata kejayaan itu akan terpahat sebagai antara yang terbaik selain menyifatkan ia satu lagi kisah kejayaan negeri itu dalam bidang sukan.

Ahmad Razif berkata atlet Terengganu wajar mengambil contoh semangat juang tinggi yang ditunjukkan Sultan Mizan yang berjaya membuktikan kejaguhan di peringkat Asia Tenggara.

“Saya mewakili seluruh rakyat negeri ini berbangga dengan pencapaian luar biasa ini, memenangi pingat emas dan memecahkan rekod adalah kehebatan yang jarang berlaku.

“Bukan itu sahaja, pemenang pingat perak, Mohd Bulkhari Rozali, juga anak kelahiran Terengganu. Tahniah diucapkan kepada skuad kuda lasak Malaysia,” katanya.

Catatan masa tiga jam 48 minit 38 saat yang dilakar Sultan Mizan untuk memenangi pingat emas telah mengatasi rekod Sulaiman Muda dalam temasya Myanmar 2013 (6:26:04s).

Ahmad Razif ditemui selepas majlis penyampaian pingat acara kuda lasak Sukan SEA 2017 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong, Setiu, semalam. - Arena