Rahsia Pasukan Malaysia B22 Dalam 'Kocek' Saya - Chenrop Samphaodi


Kuala Lumpur: Penyerang prolifik Thailand, Chenrop Samphaodi mendakwa ‘poketnya’ penuh dengan rahsia cara merobek kubu skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara.

Berdasarkan rekod tiga pertemuan terkini kedua-dua pasukan, ini, Chenrop sering berjaya membolosi gawang Malaysia tanpa mampu dihalang Adib Zainudin mahupun Irfan Zakaria


Dalam tiga aksi itu, skuad B-22 negara tewas dalam semua pertemuan iaitu 2-1 di final Piala Negara-Negara, tumbang 4-0 di Kejohanan Piala Dubai (Mac lalu) dan 3-0 ketika Kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia B-23 di Bangkok, bulan lalu.

“Setiap perlawanan dengan Malaysia sebelum ini saya berjaya menjaringkan gol. Ketika di final Piala Negara-negara, saya menjaringkan satu gol, begitu juga di Dubai.

“Di Bangkok bulan lalu, saya jaringkan dua gol dan untuk sekali lagi melakukannya di final Sukan SEA, bukan mustahil.

“Saya dah banyak kali melakukannya (jaringkan gol), malah pertahanan Malaysia juga pemain sama. Saya yakin boleh meraih gol,” katanya yang ditemui ketika sesi latihan pasukannya di Stadium Mimdef, hari ini.

Begitupun, pemain kelab BEC Tero Sasana itu mengingatkan rakan sepasukannya supaya jangan pandang mudah apatah lagi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu bakal mendapat sokongan padu penyokong tempatan.

“Aksi final bagi saya cukup berbeza berbanding perlawanan lalu dan sesiapa saja boleh meraih kemenangan.

“Kami kena pastikan momentum dikekalkan, dan paling penting setiap peluang harus dimanfaatkan sebaiknya.

“Saya harap pemain kekal fokus sehingga penghujung perlawanan serta mengelak melakukan kesilapan mudah,” katanya yang membantu Thailand memenangi pingat emas di Sukan SEA Singapura dua tahun lalu.