(VIDEO) Terengganu Bawa Pulang 3 Mata Kukuhkan Kedudukan


Kuantan: Dua jaringan Kipre Tchetche membantu Terengganu menang 3-0 ke atas Kuantan FA di Stadium Darulmakmur, malam ini, sekaligus memberi saingan kepada pendahulu liga, Kuala Lumpur, yang turut mencatat kemenangan.

Rentak tersusun dipamerkan tuan rumah yang terlebih dahulu menyerang seawal minit kedua, menyaksikan percubaan Mohd Shahrul Aizad sipi ke sebelah kanan pintu gol Terengganu.

Kuantan FA dihidangkan dua lagi peluang menerusi rembatan Ljubo Baranin (m-12) dan tandukan ketua pasukan, Abdul Malik Mat Arif, seminit kemudian tepat ke dakapan Mohd Suffian Rahman.

Klik untuk play video dibawah ini


Mohd Suffian sekali lagi menjadi penyelamat Terengganu dengan menafikan sepakan Ljubo Baranin di dalam kotak penalti.

Hasrat Baranin untuk memecahkan kebuntuan terus tertangguh selepas tandukannya pada minit ke-33 sekadar terkena tiang.

Terengganu, yang sesekali melakukan serangan balas, mengejutkan Kuantan dengan jaringan pembukaan Tchetche pada minit ke-35.

Tuan rumah seharusnya menyalahkan diri sendiri selepas tandukan Baranin di depan pintu gol Terengganu pada minit ke-39 dan minit ke-41 terus menghampakan mereka.

Bersambung dalam babak kedua, Tchetche menjaringkan gol kedua peribadi dan pasukannya apabila bijak membuat voli hasil hantaran J. Partiban.

Jaringan  itu menyemarakkan semangat Sang Penyu dan hampir memperoleh gol ketiga menerusi percubaan Gabriel Davis dos Santos yang ditangkap kemas Khairul Nidzam Mohammad Noor.

Pemain bek kiri Terengganu, Adib Aizuddin Ab Latif, berjaya menjadikan kedudukan 3-0 selepas menyudahkan gerakan satu-dua bersama Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-56.

Baranin, penyerang Kuantan FA kelahiran Serbia, terus berputih mata untuk sekurang-kurangnya menjaringkan gol sagu hati apabila tandukannya pada minit ke-71 sekali lagi terkena tiang.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat dan membolehkan Terengganu mengutip 41 mata, hanya dibezakan jaringan dengan Kuala Lumpur yang mengatasi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) 1-0. - Arena