(VIDEO) Thanabalan Bantu Malaysia Benam Myanmar


Kuala Lumpur: N. Thanabalan beraksi cemerlang dengan menjaringkan dua gol untuk membantu skuad bola sepak B-22 negara menumbangkan pesaing terkuatnya, Myanmar, 3-1 dalam perlawanan Kumpulan B, Sukan SEA Ke-29 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Ia kemenangan ketiga berturut-turut Malaysia tanpa sebarang kekalahan selepas menewaskan Brunei 2-1 dan Singapura 2-1, sekaligus menyamai sembilan mata dimiliki Myanmar, dengan skuad negara mempunyai baki satu perlawanan menentang Laos.

Irfan Zakaria mencetuskan amaran awal terhadap pintu gol pelawat yang dikawal Sann Sat Naing pada pertengahan separuh masa pertama.

Klik untuk play video dibawah ini


Pada minit ke-33, Thanabalan menghadirkan keceriaan buat penyokong Malaysia apabila dalam kedudukan terbaik untuk menyudahkan peluang terbuka di depan gol.

Selang dua minit, stadium sekali lagi gamat selepas Safawi Rasid pula berjaya menanduk masuk umpanan S. Kumaahran untuk meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa.

Sekalipun berkelebihan dua gol, Malaysia tidak mengendurkan serangan pada separuh kedua.

Rembatan Matthew Davies yang terus ke dakapan penjaga gol lawan pada minit ke-60 adalah antara percubaan berbahaya skuad negara.

Enam minit kemudian, Malaysia membuat serangan mengejut untuk memaksa Sat Naing keluar daripada kawasannya.

Selepas itu, Malaysia melancarkan serangan baik sebelum Jafri Firdaus Chew melakukan satu hantaran lintang berkualiti untuk Thanabalan meluru melakukan tandukan yang menemui jaring.

Pada minit ke-88, kesilapan pemain pertahanan negara melakukan hantaran ke belakang, mudah diambil penyerang Myanmar sebelum hantaran pendeknya disudahkan Than Paing.

Malaysia selepas ini akan menghadapi Laos dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Rabu, sebelum beraksi dalam peringkat separuh akhir Sabtu ini. - Arena