Irfan Bakti Tidak Rela Terengganu Berputih Mata


Tanjung Malim: Pasukan tangga kedua Liga Perdana, Terengganu, tidak memandang mudah cabaran MISC-MIFA dalam aksi di Tanjung Malim, petang ini.

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim, menyifatkan perlawanan bertemu pasukan kedua tercorot itu ibarat perlawanan akhir yang akan menentukan masa depan Terengganu.

Menurutnya, MISC-MIFA bakal memberikan masalah kepada pasukannya sekiranya pemain-pemain tidak memberi tumpuan sepanjang 90 minit perlawanan.

“Mereka (MISC-MIFA) juga memerlukan mata untuk keluar dari zon penyingkiran. Beraksi di tempat lawan dalam cuaca petang, tiada perlawanan yang mudah dan kami harus fokus.

“Tiga aksi terakhir ini macam final dan walaupun Terengganu di kedudukan kedua, pemain-pemain tidak boleh leka,” ujarnya.

Ketua jurulatih berpengalaman itu juga berharap kesebelasan utamanya tidak melepaskan gol mudah seperti perlawanan lalu untuk memastikan mereka tidak pulang tangan kosong.

“Kami mampu menjaringkan dua hingga tiga gol. Tapi dibolosi tiga gol juga (menentang Sarawak). Jentera tengah dan pertahanan perlu lebih mantap,” tambahnya lagi - Arena