Kemenangan Ini Buat Syed Ahmad Irfan Fatihi - LTK

Posted on Thursday, September 21, 2017 | 9/21/2017



KEMENANGAN besar skuad bawah 16 tahun negara (B-16) ke atas Singapura 6-1 dalam aksi sulung Kelayakan Kejohanan AFC B-16 di Bekasi, Indonesia semalam khas ditujukan buat pelatih Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Syed Ahmad Irfan Fatihi yang meninggal dunia 2 September lalu.

Pengendali skuad B-16 Lim Teong Kim berkata, berita kehilangan pemain berbakat berusia 14 tahun itu nyata mengejutkan pasukan yang ketika itu dalam rangka persiapan menghadapi pusingan kelayakan.

“Saya ingin menghadiahkan kemenangan ini buat arwah Syed Ahmad Irfan Fatihi dan ahli keluarganya yang terbabit dengan kemalangan jalan raya tempoh hari,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Dalam kemalangan di Kilometer 340.9 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Paka itu, kereta jenis Nissan XTrail dipandu bapa saudaranya, Syed Ahmad Fazrul Syed Mohammad, 30, dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan, dipercayai terbabas sebelum terbalik.

Kemalangan berkenaan menyebabkan abang mangsa, Syed Ahmad Hakim Hilmi, 18, patah tangan kanan manakala adiknya, Syed Ahmad Azfar Safuan, 13, cedera ringan dengan bapa saudaranya pula dilaporkan cedera di kepala.

Dalam perkembangan sama, Teong Kim turut memuji persembahan anak buahnya apabila mengakui cukup berpuas hati terutama di jentera depan bijak memanfaatkan peluang terhidang.

“Keputusan ini sangat positif buat kami. Pemain berjaya menyempurnakan segala peluang yang ada terutamanya peralihan daripada gerakan bertahan ke menyerang dan sebaliknya.

“Saya gembira melihat aksi pemain dan tahniah buat mereka,” katanya yang akan berdepan Guam dalam aksi kedua di Stadium Wibawa Mukti, Bekasi hari ini.

Meskipun sudah layak ke pusingan akhir tahun depan atas tiket tuan rumah, Malaysia tetap menaruh harapan tinggi untuk muncul juara Kumpulan J bagi mengelak diundi sekumpulan dengan pasukan kuat di pusingan akhir nanti.
Blog, Updated at: 9/21/2017