Kerajaan Negeri Pandang Serius Masalah Disiplin Pemain


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri memandang serius masalah disiplin pemain bola sepak dan tidak akan berkompromi walaupun mereka dianggap sebagai ‘anak emas’.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, isu pemain tidak berdisiplin perlu ditangani seberapa segera bagi mengelak menjadi virus dan menjangkiti pemain lain.

“Setakat ini saya belum mendapat maklumat secara rasmi lagi. Oleh itu saya serah kepada pihak pengurusan T-Team untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemain yang tidak berdisiplin.

“Tapi kita tidak akan berkompromi berkaitan masalah disiplin pemain kita,” kata Rozi ketika ditemui di Dewan Arena Stadium Tertutup Gong Badak selepas merasmikan Majlis Himpunan Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu menjelang detik setahun sebelum temasya itu berlangsung pada tahun depan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sikap tidak profesional pemain sayap T-Team, Mohd Nor Hakim Hassan yang menghilang diri selama 22 hari tanpa sebarang berita selain tidak hadir menjalani latihan bersama skuad itu sejak 5 Ogos lalu.

Mengulas mengenai hukuman untuk menamatkan kontrak bekas pemain Terengganu berusia 26 tahun itu sebagaimana yang dinyatakan pengurus T-Team Sabtu lalu, Rozi mahu pihak pengurusan menyediakan laporan lengkap sebelum sebarang tindakan diambil.

“Kita akan lihat kes dia, mungkin dia ada masalah peribadi atau keluarga, kita belum tahu lagi, jadi saya berharap pengurusan T-Team menyediakan laporan lengkap dan selepas itu kita akan buat keputusan,” kata Rozi.

Sementara itu penolong jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim menarik nafas lega apabila misteri ‘kehilangan’ Mohd Nor Hakim terjawab selepas pemain itu hadir dalam sesi latihan skuad itu kelmarin.

“Pemain itu sudah menjalani latihan hari ini (kelmarin) dan dia mengaku sudah sedar dengan kesilapan selain memohon maaf kerana menghilangkan diri tanpa alasan kukuh.

“Kita menerima pemain itu bersama pasukan tetapi bentuk hukuman berikutan tindakannya tidak hadir menjalani latihan sebelum ini akan diputuskan kemudian selepas perbincangan bersama pihak pengurusan,” katanya. - Harian Metro