Malaysia Juara Bola Sepak Pantai di Busan, Korea Selatan


MELAKA: Malaysia muncul juara Kejohanan Bola Sepak Pantai Antarabangsa Busan Ke-2 di Songdo, Busan, Korea Selatan, selepas menang 6-3 ke atas kelab Awesome dari China pada aksi final, semalam.

Skuad bimbingan penolong jurulatih Saiful Mohd Noor itu mara ke final selepas mengatasi BSC Akashiareia dari Jepun pada separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti 4-3, selepas terikat 4-4 pada aksi sepenuh masa.

Terdahulu pada suku akhir, Malaysia menewaskan kelab Known dari Korea Selatan dengan keputusan 8-2 untuk mara ke separuh akhir.

Penolong pengurus pasukan, Mustaza Ahmad berkata, pemain memberikan yang terbaik pada setiap perlawanan dengan misi untuk mencipta kejayaan.

"Apa yang membanggakan ialah kehadiran pasukan negara di kejohanan berkenaan yang mensasarkan untuk mara ke separuh akhir, tetapi melepasinya dan beroleh kejayaan manis apabia muncul juara.

"Lebih menceriakan kem negara kerana pemain utama Riduwan Mohd Noor dianugerah pemain terbaik perlawanan dan Mohammad Fakrullah Mohamad sebagai penjaring terbanyak kejohanan," katanya.

Baginya, perancangan baik jurulatih yang diterjemah pemain memberi impak berkesan terhadap kejayaan berkenaan, tambahan pengalaman yang masih baharu mampu mengejutkan lawan.

Mustaza berkata, skuad itu berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang memberi peluang untuk beraksi dan menimba banyak ilmu, terutama daripada pasukan China, Jepun dan Korea Selatan. - Berita Harian